KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) diaibkan Penang FC apabila dibelasah 1- 4 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan Harimau Kumbang kendalian Thomas Trucha meneruskan momentum cemerlang dengan melonjak ke tangga ketiga mengumpul 22 mata manakala Sang Penyu pula jatuh pada kedudukan keempat dengan 21 mata.
Awal permainan memihak skuad Harimau Kumbang yang memerlukan dua minit untuk mencemaskan TFC namun rembatan kencang Muhamad Azwan Arifin berjaya ditepis penjaga gol.
Memasuki minit kelapan, Penang FC membuka tirai jaringan melalui tandukan Sheriddin Boboev selepas penyerang Tajikistan itu menyambung sepakan sudut ketua pasukan, Endrick Dos Santos.
Sorakan hampir 6,000 penyokong TFC semakin tenggelam apabila tandukan Casagrande disambar Endrick untuk menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-21.
Hasrat TFC untuk sekurang-kurangnya merapatkan jaringan sebelum waktu rehat tidak kesampaian selepas tandukan David Da Silva berjaya ditepis penjaga gol, See Tian Kiat pada minit ke-42.
Sang Penyu memulakan babak kedua dengan agresif menyaksikan percubaan berturut-turut Hakimi Abdullah (m-48) dan Marcel N’Guessan (m-53) namun dinafikan Tian Kiat.
Serangan berterusan TFC hanya berhasil pada minit ke-59 menerusi sepakan kencang Hakimi di depan kotak penalti yang menerjah jaring untuk menjadikan kedudukan 1-2.
Kerancakan tuan rumah menyerang memakan diri apabila Casagrande mudah menanduk hantaran lambung bek kanan, Quentin Cheng pada minit ke-65 menewaskan Mohd. Suhaimi Husin.
Menerusi gerakan sama di sebelah kanan, Casagrande menambah luka TFC dengan gol kedua peribadi dan keempat Penang FC pada minit ke-68 dengan kedudukan 4-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan. – K! ONLINE