Bekas Ratu Pesta Pulau Pinang, Roseyana Haryanti Mohd. Harunizam, 32, mempunyai prinsip tersendiri dalam mengejar cita-citanya sebagai usahawan perniagaan produk kecantikan wajah dan shawl secara online.
Bagi anak kedua daripada lima beradik itu, dia mula belajar berdikari sewaktu di usia remaja selepas kematian ibu tercinta, Sabruan Merican akibat kanser payudara pada tahun 1992 ketika dia berusia empat tahun.
Sejurus tamat persekolahan, Roseyana atau lebih mesra disapa Rose berusaha mencari duit sendiri dengan menjual produk pertama iaitu instant shawl.
Berkat kesabarannya, Rose yang pernah bergelar pensyarah Bahasa Inggeris dan Komunikasi Perniagaan di Kolej Olympia, Pulau Pinang pada tahun 2012 kini sudah mampu memiliki jenama produk kecantikan dan instant shawl sendiri iaitu Rozelle Signature sehingga berjaya menembusi pasaran Singapura serta Brunei.
Kosmo! Ahad: Bila mulakan perniagaan? Adakah ini cita-cita atau paksaan?
Roseyana: Saya mula berniaga pada usia 21 tahun atas minat sendiri selain mahu mencari duit sampingan sambil belajar.
Kenapa memilih mengusahakan perniagaan sendiri berbanding kerja makan gaji?
Kerana waktu bekerja lebih fleksibel. Bisnes berpeluang meraih pendapatan lebih tinggi sehingga lima angka sekiranya kita rajin berusaha walaupun berdepan risiko.
Berani berdepan cabaran dalam bidang perniagaan di usia muda. Adakah usaha yang dilakukan ini pernah mendapat tentangan keluarga?
Ketika di awal ceburi bidang perniagaan online, keluarga tidak menggalakkan kerana khuatir masa depan tidak terjamin. Tetapi, ketika itu saya dapati belum ramai yang menceburi bidang perniagaan dan menganggap suatu peluang yang cerah.
Apakah produk pertama keluaran sendiri?
Produk pertama keluaran sendiri adalah Instant Shawl pada tahun 2016 kerana ketika itu tudung tersebut belum lagi terkenal di pasaran, namun telah mendapat sambutan luar biasa.
Kini sudah ada kereta dan apartmen sendiri. Adakah ini sudah mencukupi?
Berkat usaha dan keyakinan, saya bersyukur dengan apa yang dikecapi hari ini tetapi masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki dalam usaha mengembangkan lagi bisnes ke tahap yang lebih tinggi.
Pengalaman yang pernah ditempuhi sepanjang bergelar usahawan?
Menangis seharian selepas mendapat tahu hasil rekaan shawl yang diiklankan telah dieksploitasi pihak lain sehingga perniagaan merosot.
Adakah kamu serik sebab cuba ditipu pelanggan?
Saya tidak serik tetapi lebih berhati-hati menyemak setiap transaksi dan peka dalam pengurusan akaun serta tempahan pelanggan.
Tidak menyesal berhenti sebagai pensyarah?
Bidang perniagaan mendatangkan kepuasan dalam diri. Walaupun ramai yang beranggapan kerja tetap lebih menjamin masa hadapan dan rugi tidak memanfaatkan ijazah namun ilmu yang dipelajari boleh dipraktikkan dalam apa jua keadaan.
Adakah perlu wajah cantik untuk menjual produk kecantikan?
Kecantikan sebenar itu lahir daripada keyakinan. Seseorang itu tidak perlu kelihatan sempurna untuk menjual produk atau mengeluarkan produk kecantikan asalkan pandai menjaga penampilan diri dan perlu ada etika. -K! ONLINE