KUALA LUMPUR – Keretakan dan mendapan teruk telah berlaku di Jalan Maarof, Bangsar selepas ribut petir dan hujan lebat sejak petang semalam.
Ekoran mendapan di permukaan jalan itu, ia ditutup secara keseluruhan sekitar pukul 10 malam hingga 5 pagi tadi.
Kejadian berkenaan telah dikongsikan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam satu hantaran di akaun Facebooknya yang berdurasi lima minit malam tadi.
Beliau yang baru selesai menunaikan solat Isyak dan tarawih di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar itu memberitahu, dia terkejut apabila melihat kereta peronda menghalang laluan kenderaan bermula dari hadapan masjid menghala ke Maybank Bangsar Baru.
“Saya segera bergegas ke lokasi dan mendapati terdapat sejumlah kesan retakan di atas Jalan Maarof di antara Public Bank dan Maybank.
“Turut kelihatan pasukan penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang menjalankan tugas dan menyiasat kejadian itu,” ujarnya.
Jelas beliau, berdasarkan pemerhatiannya, berkemungkinan ribut petir dan hujan lebat sekitar pukul 9 malam tadi telah menyebabkan jumlah air yang mengalir dalam longkang di bawah hentian bas Bank Rakyat telah meningkat dengan mendadak.
“Ia berkemungkinan mengakibatkan dinding longkang itu jatuh dan air mengalir terlalu deras ke arah jalan berturap.
“Berkemungkinan juga air yang mengalir itu telah menembusi di permukaan Jalan Maarof di beberapa lokasi yang akhirnya mengakibatkan kerosakan jalan,” ujarnya.
Jelasnya, pihak berkuasa sedang menyiasat perkara berkenaan dan kerja-kerja membaik pulih jalan itu akan dilakukan segera. – K! ONLINE