BAGAN SERAI – Enam anak muda mempunyai cara tersendiri meluahkan rasa simpati mereka kepada 53 kru KRI Naggala-402 yang terkorban di Perairan Bali, Indonesia apabila membentuk pelita punjut berbentuk kapal selam itu di Kampung Bukit Merah, Semanggol di sini.
Bentuk rangka kapal sepanjang hampir 8 meter dan tinggi mencecah 3 meter itu direka sebagai penghormatan dan sokongan kepada rakyat Indonesia.
Azizul Hafiz Mohd. Nordin, 34, berkata, idea itu datang selepas melihat insiden kapal selam berkenaan memberi impak emosi yang cukup mendalam kepada rakyat di kebanyakan negara termasuk Malaysia.
Katanya, dia dan lima rakan pada mulanya hanya bercadang untuk membentuk kapal biasa, namun selepas dibincangkan, mereka bersetuju membuat bentuk kapal selam berkenaan atas rasa simpati.
“Kami kemudian mencari besi dan buluh yang ditebuk untuk diletakkan sumbu pelita dan setakat ini bentuk kapal selam itu sudah siap 80 peratus dalam tempoh empat hari. Tin minuman aluminium juga digunakan untuk membentuk gulungan sumbu.
“Reka bentuk ini merupakan persiapan komuniti Kampung Bukit Merah dalam mengambil bahagian pada Pesta Panjut Ramadan anjuran UMNO Bahagian Bagan Serai,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambahnya, pelita panjut itu didirikan di pekarangan CTC Bukit Merah bersama tiga reka bentuk lain seperti rumah kampung, pintu gerbang dan kereta api elektrik.
Menurut Azizul Hafiz, setakat ini mereka telah menyiapkan 120 pelita panjut dan dalam fasa akhir untuk melengkapkan bentuk kapal selam itu.
Selain Azizul Hafiz, lima lagi rakannya yang terlibat ialah Suhaimi Sani, Nadhir Muhammad, Ajwad Noh, Khairul Anuar dan Yazid yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 30an.
Kali terakhir pesta panjut diadakan ialah pada tahun 2017 dan Kampung Bukit Merah sekadar meraih tempat ketiga menerusi pelita panjut berbentuk rumah kampung. -K! ONLINE