GEORGE TOWN – Kebakaran di Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah di sini November lalu menyebabkan peniaga, Mohd. Asri Mohd. Ismail, 51, turut hilang punca pendapatan apabila gerai nasi lemaknya turut hangus dalam kejadian berkenaan.
Sebagai peniaga orang kelainan upaya (OKU) bahagian kaki, pergerakan Mohd. Asri yang merupakan bapa kepada enam orang anak yang berusia 10 hingga 22 tahun itu agak terbatas apabila dia tidak mampu untuk berdiri lama.
Mohd. Asri berkata, sejak November tahun lalu, pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 yang diperoleh hasil menjual nasi lemak dan pelbagai lauk pauk di kompleks tersebut sudah hilang.
Katanya, sebagai ketua keluarga, dia tetap mencari rezeki untuk menyara kehidupan dan memilih untuk berniaga nasi lemak dengan menggunakan motosikal roda tiganya di sekitar Tanjong Tokong.
Mohd. Asri berkata, ketika ini dia berniaga nasi lemak daun pisang di Bazar Ramadan Tanjung Tokong di sini untuk mencari pendapatan tambahan buat keluarganya bagi menyambut Aidilfitri.
“Nasi lemak ini adalah punca pendapatan saya sejak 18 tahun dahulu, saya sudah tidak berniaga lagi di Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah selepas tempat itu terbakar.
“Saya teruskan berniaga nasi lemak ini secara kecil-kecilan dengan menaiki motosikal roda tiga, dapatlah saya cari wang untuk anak-anak dan isteri,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.
Menurut Mohd. Asri, dahulu ketika berniaga sepenuh masa di Kompleks Selera Mutiara, dia mampu menjual nasi lemak 10 kilogram beras setiap hari.
“Di situ saya jual nasi lemak bersama pelbagai jenis lauk pauk setiap hari pada waktu malam, setiap hari jualan akan habis.
“Tetapi sekarang dalam sehari nasi lemak berharga RM2 ini dapat dijual sekitar 70 bungkus sahaja,” katanya.
Bagi yang ingin merasai keenakan nasi lemak Mohd. Asri, anda boleh berkunjung ke Bazar Ramadan Tanjong Tokong atau menghubunginya di talian 017-417 1435. -K! ONLINE