fbpx

Mat rempit bising ganggu penduduk ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang mat rempit yang ditahan pihak polis.

IPOH – Kegiatan sekumpulan mat rempit berlumba dan membuat bising pada setiap malam minggu berakhir apabila ‘litar perlumbaan’ mereka di Taman Desa Aman, Jalan Pasir Puteh di sini, diserbu polis awal pagi tadi.

Dalam operasi pada pukul 3 pagi itu, seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun antara sepuluh penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan.

Operasi itu disertai lima pegawai dan 22 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ipoh.

Ketua JSPT Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, serbuan itu dijalankan selepas menerima aduan penduduk yang mendakwa diganggu bunyi bising deruman motosikal pada setiap malam minggu.

Katanya, berikutan aduan itu, pihaknya menjalankan risikan dan pemantauan selama dua minggu di kawasan tersebut sebelum serbuan dijalankan hari ini.

“Ketika operasi dijalankan, kesemua lelaki berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun itu sedang leka berlumba dan menunggang motosikal secara merbahaya.

“Kesemua mereka yang berkumpul di kawasan itu didapati sedang melakukan aksi seperti wheelie, zig zag dan menunggang dalam keadaan laju sambil menundukkan badan.

“Aksi tersebut bukan sahaja bahaya kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya lain,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati kumpulan berkenaan akan berkumpul di kawasan tersebut untuk menjalankan aktiviti mereka bermula pukul 1 pagi.

Katanya, mereka yang ditahan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dalam operasi itu, sebanyak 74 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen, ubah suai ekzos dan kenderaan, nombor plat, tiada insurans dan cermin sisi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI