KUALA PERLIS – Cubaan seorang lelaki menyeludup 390 botol ubat batuk ke Thailand dengan menggunakan sampan menerusi perairan ini berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu dalam Op Benteng hari ini.
Sampan dikendalikan seorang tekong itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan berhampiran Jeti Kastam Kuala Perlis kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bertindak atas maklumat Unit Risikan PPM Kuala Perlis dan Unit Risikan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), bot ronda PSC 49 berjaya mengesan kedudukan sampan tersebut.
“Tekong sampan itu bagaimanapun bertindak memecut laju menghala ke kawasan darat sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap sampan tersebut menemui empat bungkusan plastik hitam berisi sejumlah botol putih jenama Dynadril mengandungi cecair hitam disyaki ubat batuk. – K! ONLINE