BEIJING – Pemerintah China menguatkuasakan beberapa undang-undang yang disasarkan untuk mengurangkan sisa makanan di negara itu, lapor laman berita Nikkei Asia, kelmarin.
Undang-undang baharu itu termasuk denda sehingga 100,000 yuan (RM63,257) kepada penyiar dan perkhidmatan penstriman mempromosikan tabiat makan secara lahap dan membazir.
Penguatkuasaan tersebut sebagai menyahut seruan Presiden, Xi Jinping untuk meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan makanan. Undang-undang itu turut menyasarkan restoran yang menyediakan makanan berlebihan kepada pengunjung.
Di China, restoran menyediakan makanan dalam kuantiti yang banyak sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu.
Susulan undang-undang baharu itu, restoran kini dibenar mengutip bayaran pembuangan sampah daripada pelanggan yang meninggalkan sisa makanan dengan banyak pada pinggan mereka.
Restoran yang menerima tempahan berlebihan daripada pelanggan pula akan diberi amaran dan boleh denda sehingga 100,000 yuan (RM63,257) jika mengulangi kesalahan sama.
Selain itu, kafeteria pejabat dan sekolah serta aplikasi penghantaran makanan turut digesa mengambil langkah untuk mengurangkan sisa buangan makanan.
Pasar raya turut diarah untuk menguruskan masalah makanan yang menghampiri tarikh luput dan menjualnya secara pukal.
Kesemua peraturan dan undang-undang tersebut adalah susulan kenyataan Jinping pada Ogos tahun lepas yang menggesa orang ramai untuk melihat isu keselamatan makanan sebagai satu krisis.
Beliau melarang orang ramai untuk menikmati makanan dan minuman dalam kuantiti yang banyak.
Sebahagiannya merupakan jangkaan yang berpunca daripada ketegangan berlarutan antara China dan Amerika Syarikat, di mana China mengimport soya dan jagung dari negara itu.
Restoran di bandar-bandar di China membazirkan sehingga 18 juta tan makanan setahun, jumlah yang mencukupi untuk memberi makan kepada 50 juta penduduk, demikian menurut Akademi Sains Sosial China dan beberapa institusi lain. – Agensi