fbpx

Cekik, tetak ibu selepas ditegur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA ahli keluarga berdiri di hadapan rumah yang menjadi lokasi pembunuhan seorang wanita di Kampung Pesagi, Chenor Khamis lalu.

MARAN – Seorang anak yang baru keluar dari penjara atas kesalahan dadah bertindak kejam apabila mencekik sebelum me­netak ibunya menggunakan sebilah parang dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Kampung Pesagi, Chenor di sini awal pagi Khamis lalu.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mariani Ismail, 55, maut dengan mayatnya ditemui dalam keada­an berlumuran darah selain ada kesan tetakan pada dahi, mulut, perut dan tangan kanan.

Mangsa tinggal bersama suspek dan seorang cucu lelakinya yang berusia 10 tahun di rumah berkenaan, namun kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan apabila sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah.

Suspek yang berusia 39 tahun pula merupakan anak sulung dari­pada sembilan beradik dan baru sebulan keluar dari sebuah penjara atas kesalahan dadah.

Sumber memaklumkan, sebelum kejadian, mangsa pernah menasihati suspek agar tidak lagi membeli dadah, lebih-lebih lagi selepas permohonan lelaki itu untuk mengeluarkan duit i-Sinar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja diluluskan.

“Suspek dikatakan seperti merancang kejadian pembunuhan apabila dia bertindak menutup pintu dan lampu luar selain memakai parang yang baru dibelinya di pinggang.

“Selepas kejadian, suspek juga dilihat masih tenang dan bagaikan tiada perasaan apabila memberitahu tindakannya itu adalah atas suruhan ibunya sendiri,” kata sumber kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Jelas sumber lagi, kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang tidur bersama cucunya telah didatangi oleh suspek yang kemudian menyerang wanita itu.

Tambahnya, suspek menyerang dengan mencekik mangsa menyebabkan wanita itu mengarahkan cucunya untuk melarikan diri.

“Nasib baik cucu mangsa dapat membuka pintu dan berlari ke rumah salah seorang anak perempuan mangsa yang tinggal bersebelahan.

“Anak perempuan mangsa yang bergegas ke rumah kemudian mendapati suspek berada di tepi pintu sambil memegang parang menyebabkannya tidak berani masuk. Dia kemudian meng­hubungi adik beradik lelakinya untuk memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya.

Dalam pada itu, anak kelima mangsa, Firdaus Ahmadiah, 36, berkata, dia yang bergegas ke tempat kejadian terus memasuki rumah meskipun abang sulung­nya ketika itu berada di tepi pintu sambil memegang parang.

“Saya meluru masuk dan memapah ibu yang sudah tidak dapat bergerak dengan kesan kecederaan yang serius.

“Saya bertanya kenapa abang buat ini (terhadap ibu) dan dia memberitahu bahawa ibu yang suruh dia bunuh,” katanya.

Menurutnya, pada masa itu dia tidak memikirkan perkara lain dan terus membawa ibunya yang berlumuran darah ke Klinik Chenor.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek yang berjaya ditahan penduduk kampung telah direman sehingga 5 Mei depan untuk siasatan lanjut.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan baru selesai menjalani hukuman penjara pada Mac lalu.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku menggunakan parang menetak mangsa setelah berhalusinasi mendengar bisikan suara halus yang menyuruh dia berbuat demikian.

“Pemeriksaan luaran fizikal mangsa mendapati terdapat luka disyaki akibat tetakan objek tajam pada bahagian dahi, mulut, perut dan tangan kanan,” katanya.

 

Penagih dadah tidak dapat bezakan antara realiti, halusinasi

PETALING JAYA – Pengambilan dadah jenis stimulan seperti ais dan syabu yang kononnya bagi menambah tenaga dan mempertingkatkan prestasi kerja sebenarnya memberi kesan buruk yang boleh mengundang kejadian tidak diingini.

Salah satu kesan utamanya adalah mereka yang mengambil dadah jenis ini akan mengalami psikosis apabila tidak lagi dapat membezakan antara realiti dan halusinasi.

Pakar Psikiatri dan Pengarah UM Center for Addiction Scien­ces, Dr. Rusdi Abd Rashid berkata, apabila keadaan itu berlaku, maka individu terbabit dikategori mengalami Skizofrenia iaitu sejenis gangguan mental.

“Kebiasaannya orang bekerja mengambil dadah jenis ini sebab mahu tingkatkan prestasi kerja. Sentiasa bertenaga dan mampu bekerja berhari-hari tanpa tidur. Golongan wanita pula terutama eksekutif guna dadah stimulan untuk kurus supaya kelihatan cantik di tempat kerja.

“Bagaimanapun lambat laun prestasi diri mereka menurun jadi murung, agresif, mudah bergaduh dengan orang lain sehingga sanggup mencederakan tubuh atau bunuh diri.

“Mereka akan berkelakuan tidak rasional dan boleh mengalami delusi. Wujud kepercayaan karut seperti melihat beruang atau hantu dan bertindak melam­paui batas disebabkan ketakutan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

RUSDI

Rusdi berkata, berdasarkan pengalaman beliau, dadah jenis stimulan turut digunakan untuk tujuan seks terutama dalam kalangan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Katanya lagi, ketagihan dadah jenis baharu iaitu stimulan juga akan menyebabkan seseorang banyak makan, kerap tidur dan bersendirian.

“Golongan pelajar universiti, pemandu pengangkutan awam juga ada mengambil dadah jenis ini. Pelumba haram mengambil dadah ini supaya jadi berani,” katanya.

Jelas beliau, setakat ini tiada ubat untuk merawat penagihan dadah jenis stimulan dan methadone juga tidak dapat membantu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI