fbpx

Barkoba panaskan Bell Ngasri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELL NGASRI

LEBIH tiga dasawarsa bergelumang dalam seni lakonan, pemilik nama lengkap Nasrizal Ngasri, 41, membuktikan kecintaan dan keluhuran ilmu terhadap seni yang menjadi periuk nasi, akan tetap membuahkan hasil.

Karakter Barkoba lakonannya menerusi filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan sutradara profilik, Mamat Khalid tiba-tiba menjadi ikon Geng Plastik Hitam bulan Ramadan. Frasa keramat ‘yak yak yeay’ dan impak populariti luar biasa hingga ke mukanya. Apa resepi dan sifir pegangan lelaki itu sedari usia enam tahun bergelumang dalam dunia seni? Bell yang ditemu bual Pose dalam satu sesi fotografi di ibu pejabat Media Mulia, Petaling Jaya memberitahu, dia tidak pernah ambil pusing soal populariti.

Baginya, apa yang penting ialah keikhlasan dan kerendahan diri dalam apa jua tugasan lakonan yang diberikan kepadanya.

Soal penerimaan dan populariti bukan perkara yang dikejarkan. Jika hal tersebut jatuh ke ribanya, bapa kepada tiga cahaya mata itu menganggap itulah bonus atas kesetiaannya menadahkan harapan terhadap dunia lakonan.

“Saya tidak pernah anggap diri hebat atau senior kalau masuk set penggambaran mana-mana projek. Kalau ada pelakon baharu, mereka panggil saya dengan nama Bell sahaja, jujur saya tak kisah pun.

“Kalau berlakon, saya tak suka ada jurang antara pelakon baharu dan pelakon lama. Saya percaya, mereka yang berkerja dalam bidang ini tahu peranan masing-masing. Kita semua sama sahaja, apa yang membezakan ialah kualiti kerja yang kita cernakan. Itu yang penting,” katanya membuka bicara.

BELL tidak pernah menganggap dirinya sebagai ‘otai’ dalam bidang lakonan. Apa yang penting baginya ialah kualiti kerjaya tidak kiralah pelakon baharu ataupun yang lama. – SHIDDIEQIIN ZON

Datuk untuk Mamat

Seiring fenomena Barkoba dan angin anugerah Datuk yang tiba-tiba dibangkitkan netizen agar diberikan kepadanya, Bell berkata, bukan dia, tetapi ada orang yang lebih layak mendapat gelaran tersebut.

Individu terpenting yang paling layak menerima gelaran dan pangkat tersebut ialah pengarah Mamat Khalid. Itu figura paling berjasa bukan sahaja terhadap kerjayanya, bahkan sinematik industri perfileman tempatan secara keseluruhan.

“Kalau penonton rasa saya dahsyat, saya sentiasa membenamkan dalam hati bahawa ada orang lagi dahsyat daripada saya. Sejujurnya, saya tak fikir pasal gelaran mahupun populariti.

“Bagaimana orang boleh fikir saya layak dapat ‘datuk’ kerana watak Barkoba, saya hanya mampu tergelak sahaja.

“Beginilah, kalau nak beri gelaran tersebut, sila beri kepada individu-individu yang betul-betul layak.

“Beri kepada Mamat Khalid! Beri semua harta dan kesenangan untuk orang yang banyak berbakti kepada industri perfileman negara kita.

“Saya sendiri banyak terhutang budi dengan beliau. Sebab saya masih kukuh dalam industri pun antaranya disebabkan kepercayaan beliau terhadap kemampuan saya,” luah Bell yang meluncurkan diri dalam perfileman menerusi Cinta Kita pada 1995.

Mengulas tentang pengalaman berkerja dengan Mamat, Bell tidak menyangka watak Barkoba meninggalkan bekas mendalam dalam kalangan penonton.

Itu semua tidak akan berlaku kalau tiada pelawaan daripada pengarah hebat berkenaan yang bermula dalam grup WhatsApp secara spontan.

“Abang Mamat hantar mesej dekat grup WhatsApp untuk projek istimewa (18 Puasa). Dalam grup itu ada orang yang biasa sudah bekerja dengannya.

“Alhamdulillah daripada (telefilem) 16 Puasa sampailah sekarang dah ada filem 18 Puasa,” ujar Bell.

PERCAYA kepada aturan nasib dan rezeki, Bell yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan yakin selagi ada kerja keras dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara, kejayaan pasti akan menyusul.

Idam watak ‘air mata’

Buat khalayak yang baru mengenali atau mengikuti kerjaya Bell, pastinya hanya terlazim lelaki itu dengan karakter-karakter lelucon atau ‘troublemaker’. Ironi, dia juga acap kali melakonkan watak-watak serius. Antaranya, telefilem Pa’e yang disiarkan pada 1998.

Telefilem berkenaan pernah melayakkannya menang trofi Aktor Pembantu Terbaik Anugerah Skrin.

Jika mengikut catatan Wikipedia, itu merupakan satu-satunya trofi berprestij dimenangi sepanjang 30 tahun bergelumang dalam industri seni.

“Sebelum ini, banyak watak serius pernah saya jayakan. Namun ‘kerjaya’ melawak saya bermula sekitar tahun 2007-2008 apabila produksi mula memberi kepercayaan dan nampak bakat saya dalam komedi.

“Saya okey sahaja kalau orang nak tengok saya terus menghiburkan hati penonton. Sebab secara peribadi, kalau orang seronok dengan kualiti kerja yang saya pamerkan, saya pun seronok.

“Saya tak suka tengok orang bersedih. Namun itu tidak bermakna saya tak boleh jayakan atau bawa watak serius atau air mata. Kalau ada produksi yang sudi ingin saya jayakan watak macam itu selepas ini, saya sedia untuk lakukannya,” katanya lagi.

KARAKTER Barkoba lakonannya menerusi filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan sutradara profilik, Mamat Khalid tiba-tiba menjadi ikon Geng Plastik Hitam bulan Ramadan.

Anak-anak warisi bakat

Sebelum menggulung perbualan, pelakon yang pernah cemerlang dalam filem Kaki Bakar itu bercerita sedikit tentang keluarga kecilnya.

Tidak mahu terlalu menonjolkan keluarga di depan lensa kamera, pada masa sama, dia juga tidak pernah menghalang seandainya anak-anak ingin mengikut jejak langkahnya.

“Saya rasa orang yang dah bosan dengan lawak saya adalah ‘isteri’ di rumah (ketawa).

“Kalau bercakap tentang kecenderungan anak-anak dalam bidang lakonan, saya tidak pernah menghalang. Mereka ada bakat berlakon, namun setakat ini lebih selesa di belakang tabir.

“Kalau tengok video parodi MeleTOP yang Wany Hasrita jadi cikgu, dalam video itu ada anak saya tetapi mungkin orang tak tahu.

“Banyak kali juga anak saya terlibat dengan projek alih suara (voice over). Kalau dahulu, seawal usia enam tahun dah sibuk bekerja dalam bidang ini, untuk anak-anak, sekarang biarlah mereka habiskan belajar dahulu sebelum apa-apa,” ulasnya menoktahkan bicara.

Hasil perkongsian hidup Nur Farhana Muhamad Fauri, Bel kini dikurniakan tiga orang cahaya mata yang masing-masing kini berusia 13, 12 dan enam tahun.

TERKENAL dengan keupayaan bermain emosi menerusi pelbagai watak lakonan, Bell mula diyakini sebagai pelawak sejak tahun 2007

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI