fbpx

Ahli perniagaan pukul, ugut bunuh pemandu peribadi diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan suspek sedang menendang bahu mangsa di sebuah rumah di Country Height, Kajang di sini, pagi semalam.

PETALING JAYA – Seorang ahli perniagaan diberkas selepas dia disyaki menendang bahu dan mengugut untuk menembak pemandu peribadinya dalam kejadian di sebuah rumah di Country Height, Kajang di sini pagi semalam.

Lelaki tempatan berusia 53 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.50 petang oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira 1.22 pagi, berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa yang berusia 28 tahun itu selepas mereka berdua pulang dari Kuala Lumpur.

“Ketika pertengkatan berlaku, suspek mengugut untuk menembak mangsa sekiranya mangsa keluar dari rumahnya selain mengeluarkan kata-kata kesat dan menendang mangsa di bahagian bahu.

“Suspek juga bertindak merosakkan motosikal milik mangsa hingga menyebabkan mangsa bimbang dengan keselamatan diri lalu meminta bantuan orang ramai untuk melarikan diri,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kajang kira-kira pukul 9.15 pagi pada hari yang sama.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan suspek direman dua hari sehingga esok,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323, Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, melakukan ugutan jenayah, melakukan perbuatan khianat serta melakukan halangan salah terhadap mangsa.

Terdahulu, satu video berdurasi tiga minit 29 saat tular di laman sosial memaparkan pemandu berkenaan merakam majikannya yang mengugut dan menendangnya di hadapan rumah ahli perniagaan tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI