KUALA LUMPUR – Berbaki lagi dua minggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, tukang jahit di ibu negara tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.
Walaupun tidak dapat pulang ke kampung kerana pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, kebanyakan warga kota masih teruja menyambut hari raya pada tahun ini termasuk menempah pakaian lebih awal.
Seorang tukang jahit, Hasya Khan, 43, berkata, dia menerima banyak tempahan pada tahun ini.
“Keadaan ini berbeza kerana pada tahun lalu kita menyambut raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lebih ketat peraturannya.
“Walaupun tak boleh pulang ke kampung, rata-rata pelanggan saya bersemangat mahu menyambut Syawal,” katanya ketika ditemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini semalam.
Menurutnya, rata-rata pelanggan menghantar kain untuk dibuat baju sebelum puasa dan setakat ini tempahan yang diterima masih tidak putus-putus.
“Setakat ini (Khamis lalu) masih ada pelanggan yang menghantar kain untuk dibuat baju raya dan bilangannya makin bertambah.
“Jadi saya bercadang untuk menerima tempahan dan ia akan ditutup selewat-lewatnya seminggu sebelum raya,” katanya.
Seorang lagi tukang jahit, Usman Shazad berkata, pada tahun ini, dia menerima tempahan sekali ganda berbanding pada tahun lalu.
“Pada tahun lalu, saya menjalankan perniagaan secara online dan tempahan juga tidak banyak.
“Setakat minggu kedua, saya sudah menerima tempahan 200 helai pakaian,” katanya.
Tambahnya, dia terkejut, namun bersyukur kerana bisnesnya mendapat sambutan yang menggalakkan menjelang raya kali ini. -K! ONLINE