PETALING JAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu, Sabah ditamatkan esok seperti dijadualkan.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat penurunan kes, kluster terkawal dan tiada lagi sampel saringan sedang menunggu keputusan di situ.
“Setelah membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di seluruh Kampus UMS, Kota Kinabalu pada 2 Mei 2021.
“PKPD di SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) Kota Kinabalu juga ditamatkan mengikut jadual iaitu pada 1 Mei 2021 (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ismail Sabri berkata, Kampung Bergosong di Tawau, Sabah bagaimanapun dikenakan PKPD bermula 2 sehingga 15 Mei 2021 berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di situ.
Menurut beliau, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan mengekang penularan jangkitan ke komuniti luar.
“PKPD Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan dari 3 sehingga 16 Mei 2021,” katanya. – K! ONLINE