IPOH – Kegiatan lapan pemburu haram menembak haiwan di Hutan Simpan Padang Terap, Kedah mengundang padah apabila ditahan sepasukan anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq, Briged Utara semalam.
Mereka berusia antara 30-an hingga 40-an itu ditahan pada pukul 7.30 pagi dalam Ops Bersepadu Khazanah yang turut disertai pegawai Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA Briged Utara, Asisten Komisioner Rosman Kasman berkata, pihaknya melakukan operasi itu berdasarkan maklumat yang diperoleh berhubung kegiatan pemburuan haram di kawasan tersebut.
Menurut beliau, rondaan yang diketuai Inspektor Ahmad Kamil Effendi Ahmed Kamarzaman dan Inspektor Zul Nur Azwan Ghani itu menjumpai sebuah pondok di lokasi dipercayai menjadi tempat pemburuan haram.
“Sebaik didekati, kelihatan seorang lelaki berada di luar pondok manakala tujuh yang lain berada di dalam pondok tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui dua laras senapang patah bersama 11 butir peluru hidup dipercayai bagi tujuan pemburuan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kesemua lapan lelaki Melayu itu kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.
Rosman berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, kesalahan itu juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat)
yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.
“Batalion 3 PGA Senoi Praaq Briged Utara mengambil serius terhadap sebarang aktiviti pemburuan haram dan memerangi segala aktiviti jenayah melibatkan Khazanah Negara Malaysia.
“Kita juga meminta orang awam terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti pemburuan haram atau penyeludupan khazanah negara dengan menghubungi 05-4343701 (cawangan risik dan gerakan) berserta maklumat lengkap dan identiti mereka akan dirahsiakan,” ujarnya. – K! ONLINE