fbpx

Perisai dinamik Triton Athlete

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRITON Athlete memiliki rupa yang garang dan ciri tersebut sudah tentu menjadi nilai tambah bagi para peminat trak pikap tersebut.-Foto FAUZI BAHARUDIN

Pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di negara ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) baru-baru ini memperkenalkan secara rasmi trak pikap model Triton Athlete kepada pengguna tempatan.

Dengan pengenalan jentera pacuan empat roda itu, Mitsubishi Triton Athlete kini sah menjadi pikap flagship bagi model Triton, sekali gus menggantikan Triton Adventure X.

Antara varian lain Triton yang kini dijual ialah Triton AT Premium, Triton MT Premium, Triton AT, Triton MT dan Triton Quest.

Kehadiran Triton Athlete ke pasaran tempatan juga boleh dikatakan tepat pada waktunya kerana populariti jentera tersebut sedang meningkat dalam kalangan peminat trak pikap.

Menurut MMM, sebanyak 7,598 unit Triton berjaya dijual bagi tahun kewangan 2020 iaitu antara April tahun lalu hingga Mac lalu, iaitu peningkatan 32 peratus dari segi jualan berbanding tahun kewangan 2019.

Tidak dapat dinafikan Triton Athlete memiliki rupa yang garang dan ciri tersebut sudah tentu menjadi nilai tambah bagi para peminat trak pikap tersebut.

WAJAH garang dan sporty Triton Athlete terserlah pada rekaan hadapan ikonik Dynamic Shield yang dimilikinya.

Pada tubuh jentera tersebut, kemasan glossy black (hitam berkilat) pada bahagian bawah kenderaan yang dipadankan dengan rekaan hadapan Dynamic Shield (perisai dinamik) menjadikan trak pikap itu kelihatan begitu sporty.

Gril radiator glossy black yang merupakan sebahagian daripada konsep Dynamic Shield itu merupakan salah satu ciri ikonik Triton Athlete, di samping perkataan Triton Athlete pada sisi jentera tersebut.

Rupa garang jentera itu tidak lengkap tanpa tema hitam pada bahagian cermin sisi, pemegang pintu, pemijak sisi, cermin pemantul jenis aero serta rim bersaiz 18 inci Triton Athlete.

Di bahagian dalamnya pula, Triton Athlete didatangkan dengan stereng balutan kulit berjahitan warna jingga.

Selain itu, rekaan papan pemukanya juga tidak ketinggalan berbanding jentera pesaing kerana kelihatan moden, termasuklah pada bahagian konsol tengahnya.

Triton Athlete dikuasakan oleh enjin turbodiesel MIVEC 2.4 liter dengan teknologi pemasaan injap boleh laras (VVT) yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 181PS (178hp) dan tork puncak 430Nm.

Triton Athlete ditawarkan dalam dua transmisi iaitu manual atau automatik enam kelajuan.

PANDANGAN dari tepi trak pikap ini yang diserikan dengan tulisan Triton Athlete di sisi belakangnya.

Jentera tersebut juga tidak ketinggalan dari segi keselamatannya. Ia didatangkan dengan mitigasi perlanggaran depan (FCM), amaran titik buta (BSW) dengan bantuan tukar lorong (LCA) serta amaran trafik lintas belakang (RCTA).

Antara ciri keselamatan lain ialah sistem mitigasi salah pecutan ultrasonik (UMS), lampu suluh tinggi auto (AHB) serta tujuh beg udara SRS.

Triton Athlete juga dilengkapi monitor pandang keliling (ARM), perakam video pemanduan digital (DVR) dan sistem infotainment skrin sentuh tujuh inci dengan connectivity Apple Carplay dan Android Auto.

Bagi kawalan optimum, trak pikap itu didatangkan dengan sistem pacuan Super Select 4WD II dengan mod pemanduan off-road. Pengguna boleh memilih sama ada mahu menggunakan mod 2WD High Range, Full Time 4WD, 4WD High Range atau 4WD Low Range.

Empat mod pemanduan off-road yang ditawarkan itu boleh dipilih bergantung kepada permukaan jalan dilalui iaitu sama ada di jalan raya, berpasir, berlumpur atau di kawasan berbatu.

RUANG dalaman hadapannya tampak luas dan selesa untuk pemanduan yang penuh berkeyakinan.

Bahkan, teknologi kawalan turun bukit juga terdapat pada jentera itu yang mana ia dikawal secara elektronik ketika sedang melalui jalan curam.

Radius pusingan Triton Athlete pula adalah 5.9 meter (m), sekali gus memudahkan pemandu untuk membelok atau meletakkan kenderaan di kawasan yang sempit.

Jentera itu ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Sun Flare Orange Pearl (jingga), White Diamond (putih) serta Jet Black Mica (hitam).

Mitsubishi Triton Athlete yang berharga RM141,500 tanpa insurans didatangkan dengan waranti selama lima tahun atau perbatuan 200,000 kilometer, bergantung pada mana yang tiba dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI