fbpx

Pendaki mati lemas tergelincir dalam kolam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki ditemui mati lemas selepas dipercayai tergelincir di dalam kolam takungan air di sebuah kuari di Gurun pada pagi tadi.

GURUN  – Seorang operator kilang mati lemas selepas dikatakan tergelincir ke dalam kolam takungan air ketika melakukan aktiviti mendaki bukit bersama tiga rakannya di sebuah kuari batu di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Yap Eng Leong, 42, baru selesai melakukan pendakian pusingan pertama di kawasan itu bersama seorang rakan lelaki dan dua wanita.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian mereka berempat berehat di tepi kolam takungan itu sebelum bercadang meneruskan pendakian.

Katanya, mangsa kemudian dilihat meniti paip air yang merentasi kolam takungan sebelum tergelincir.

“Kawan saya itu tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam sebelum dia cuba berenang ke arah kami tetapi tenggelam beberapa minit kemudian.

“Saya dan dua rakan lagi tidak terjun untuk menyelamatkannya kerana ketika itu kami melihat pusaran air kolam itu terlalu deras dan berbahaya,” katanya di sini hari ini.

Katanya, dia kemudian menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Muhammad Nor Iman Mustaffa yang ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 10.21 pagi ini.

“Seramai 11 anggota dari BBP Guar Chempedak disertai tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air
Sungai Petani melakukan pencarian di kolam takungan sedalam kira-kira enam meter.

“Selepas sejam melakukan operasi, mangsa ditemui pada pukul 1.30 tengah hari di dasar kolam  dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut bersama kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI