PETALING JAYA – Satu perkongsian di akaun Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengundang perasaan sebak netizen pada jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh pasukan barisan hadapan demi kesejahteraan negara.
Perkongsian tersebut merupakan satu kemaskini status daripada salah seorang petugas barisan hadapan dengan sekeping gambar yang memaparkan beberapa individu lengkap mengenakan pakaian Pelindung Diri (PPE) dalam keadaan terduduk malah ada yang kelihatan terbaring seperti terlalu kepenatan.
“Ini situasi pukul 3 pagi tuan-tuan. Terjelepuk kepenatan petugas kesihatan ini setelah menyempurnakan jenazah seorang kes positif Covid-19. Lelah dan mata meminta hak untuk lena.
“Mereka jarang sekali mengeluh, hanya sesekali meluahkan kepenatan kepada rakan-rakan, mereka tidak merungut malahan berbangga mampu tunaikan hajat waris agar dipercepatkan dan dipermudahkan segala urusan pengebumian,” katanya menerusi kemaskini status yang dikesan dibuat pada 28 April lalu itu.
Difahamkan, gambar tersebut dipercayai memaparkan keadaan petugas kesihatan dan perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu.
Tambahnya, mereka (petugas barisan hadapan) memujuk hati dengan mengatakan inilah tuntutan fardu kifayah dan Qiyamulail mereka bukan di tikar sejadah, mereka bangunkan malam ini dengan PPE dan aroma tanah kubur.
“Semoga Tuhan mengangkat pandemik ini selekasnya, masyarakat penat dan kebosanan, begitu juga kami di lapangan yang kelelahan,” ujarnya mengakhiri kemaskini tersebut.
Setelah hampir dua jam kemaskini itu dikongsikan, ia telah mendapat lebih daripada 49,000 komen serta 4,844 perkongsian daripada netizen yang turut mendoakan kesejahteraan serta keselamatan pasukan barisan hadapan.
Seorang pengguna Facebook dengan nama Mahpudzah Ahmad mengambil kesempatan untuk menyeru orang ramai agar mendoakan semoga pandemik Covid-19 segera berakhir dan pasukan barisan hadapan diberikan ganjaran terbaik.
“Marilah kita bersama-sama menunaikan solat hajat mendoakan agar Allah S.W.T. lenyapkan virus ini secepat mungkin dan buat petugas warga KKM dan pasukan barisan hadapan yang lain, semoga memperolehi ganjaran terbaik di atas pengorbanan yang telah dicurahan,” katanya. – K! ONLINE