SEREMBAN – Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan maklumat daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkenaan dakwaan unsur rasuah berkaitan ahli politik lompat parti bagi mendapatkan habuan.
Menurut Syed Ibrahim, siasatan berkenaan cadangan itu perlu dilakukan dan beliau sendiri menolak perlakuan lompat parti dalam kalangan pemimpin politik.
“Bagi saya mereka ini (lompat parti) tak betul bila parti sudah perkenalkan mereka dan melabur untuk mereka bertanding di kawasan tertentu, mereka boleh lupa diri dan lari kepada parti lain.
“Saya tak alu-alukan dan terima orang macam ini. Bila Ketua Polis Negara cakap macam itu mungkin ia berlaku dan beliau sepatutnya beri maklumat lebih lengkap supaya senang siasatan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Jelajah Ihya Ramadan Ehsan 2021 di Masjid India Muslim Seremban di sini hari ini.
Tambahnya mengulas dakwaan Abdul Hamid wujud campur tangan politik dalam Polis Diraja Malaysia, beliau mempersoalkan tindakan Abdul Hamid yang hanya membuat pendedahan ketika mahu bersara.
“Kalau betul Ketua Polis Negara mempunyai maklumat berkenaan perkara itu sepatutnya didedahkan lebih awal agar siasatan segera dapat dilakukan,” tambahnya. – K! ONLINE