PUTRAJAYA – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam lawatan rasminya ke Singapura selama dua hari bermula hari ini hingga esok.
Kementerian Luar dalam kenyataan akhbar memaklumkan lawatan itu adalah bagi memenuhi jemputan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan.
Kata kenyataan itu, ia juga merupakan lawatan rasmi timbal balas susulan lawatan kerja rakan sejawatnya itu ke Malaysia pada 23 dan 24 Mac lalu.
“Hishammuddin dijadualkan bertemu Hsien Loong serta Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Teo Chee Hean semasa lawatan rasmi tersebut.
“Ini merupakan lawatan pertama Hishammuddin ke Singapura sebagai Menteri Luar Negeri,” kata kenyataan tersebut.
Hishammuddin dan Balakrishnan juga akan berbincang mengenai pelbagai isu yang melibatkan kepentingan bersama dalam konteks kerjasama dua hala termasuk inisiatif untuk meningkatkan jalinan kolaborasi bermanfaat yang memfokuskan kepada kerjasama pasca pandemik.
“Kedua-dua Menteri Luar Negeri itu akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu semasa serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Lawatan ini dikendalikan berdasarkan tatacara-tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19,” – K! ONLINE