fbpx

Harga buluh lemang naik mendadak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roslan (kanan) tetap membuat persediaan tempahan lemang daripada pelanggan walaupun harga buluh naik mendadak sehingga RM5 sebatang di Balik Pulau, semalam.

GEORGE TOWN – Peniaga lemang di negeri ini terpaksa menerima hakikat dengan ke­­na­i­­kan harga bagi sebatang atau seruas buluh lemang yang dikatakan naik mendadak sehingga mencecah RM5 menjelang pe­rayaan Aidilfitri tahun ini.

Jika dibandingkan tahun lalu, sebatang buluh lemang yang te­lah siap dipotong dijual pemilik tanah atau pekebun pada harga RM1 hingga RM2.

Rata-rata peniaga lemang memberitahu yang mereka terpaksa berusaha mencari bekalan buluh di sekitar daerah negeri ini untuk mendapatkan harga serendah RM1 hingga RM2 sebatang seperti tahun lalu.

Seorang pengusaha lemang di Balik Pulau, Roslan Hashim, 46, berkata, berlaku kenaikan mendadak bagi sepotong buluh lemang pada harga RM3 hingga RM5 oleh pemilik pokok buluh di Pulau Pinang berbanding tahun lalu.

Menurutnya, ini berikutan permintaan tinggi dalam kala­ngan pengusaha lemang di ne­geri ini termasuk peningkatan jumlah peniaga pada tahun ini.

“Jenuh kami mencari bekalan buluh lemang di sekitar Balik Pulau. Memang kena bijak bermain harga atau berbincang dengan pemilik pokok untuk dapatkan harga serendah RM1.

“Sebelum ini, kami cari buluh di Kedah dan disebabkan masih tidak dibenarkan rentas negeri berikutan pandemik Covid-19, kami terpaksa mencari di kawasan hutan dan kebun di sini sahaja,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Roslan yang mengusahakan perniagaan lemang Bukit Selambau dengan rakannya, Azizan Shahban, 42, berkata, sebanyak 1,000 batang lemang akan dibakar dan dipasarkan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Kami amat mementingkan kepuasan pelanggan dan pada tahun ini harga lemang masih kekal dari RM18 hingga RM25 mengikut saiz buluh,” ujarnya yang memulakan perniagaan itu sejak tahun lalu ekoran turut terjejas dengan pandemik Covid-19.

Sementara itu, seorang lagi peniaga lemang, Nor Athirah Yasak, 25, berkata, bukan hanya harga buluh lemang yang naik, malah bekalan daun pisang yang siap dipotong dan diikat juga turut naik sehingga RM4 sekilogram berbanding RM3 sekilogram tahun lalu.

“Antara alasan yang diberikan peniaga atau pembekal adalah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kesukaran untuk merentas ne­geri,” tambahnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI