VILLARREAL – Ketua jurulatih Villarreal, Unai Emery berjaya menebus maruahnya selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas bekas kelabnya, Arsenal pada separuh akhir pertama Liga Europa di Estadio de la Ceramica awal pagi semalam.
Emery, 49, memuji kecemerlangan anak-anak buahnya meskipun mereka gagal mengambil kesempatan untuk menjaringkan lebih banyak gol selepas pemain tengah Arsenal, Dani Ceballos dilayangkan kad merah pada minit ke-57.
“Kami bermain dengan baik mengikut perancangan walaupun Etienne Capoue dilayangkan kad merah pada minit ke-80. Ia adalah satu kemenangan yang amat berharga buat pasukan ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu bengang dengan keputusan pengadil perlawanan selepas menganugerahkan sepakan penalti kepada Arsenal yang sekali gus membolehkan mereka meraih kelebihan jaringan tempat lawan.
“Ia bukan sepakan penalti. Pengadil membuat kesilapan pada waktu yang sangat penting dan VAR (Video Bantuan Pengadil) juga tidak memainkan peranan ketika itu.
“Anda semua boleh melihatnya. Kami berhak untuk meraih kemenangan lebih selesa,” kata Emery.
Villarreal memperoleh dua gol menerusi jaringan babak pertama daripada Manu Trigueros dan Raul Albiol sebelum insiden penyerang Arsenal, Bukayo Saka menjatuhkan badan untuk meraih sepakan penalti di separuh masa kedua.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Nicolas Pepe pada minit ke-73, sekali gus menghidupkan semula peluang Arsenal untuk aksi timbal balik . – AGENSI