KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara Didie Alias memberitahu anak keempatnya kini disahkan positif Covid-19 sejak dua hari lalu.
Menurut Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd@Ali , 49, anak keempatnya, Nur Dayini Ahza, 23, kini berada di pusat kuarantin Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang sejak semalam.
Ujar pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu, Nur Dayini disahkan positif Covid-19 selepas menjaga bapanya, Ridzuan Hashim yang turut dijangkiti virus berkenaan pada minggu lalu.
“Nur Dayini memang menjaga bapanya yang sakit selepas diserang sesak nafas kerana masalah jantung baru-baru ini namun selepas itu dia okey saja. Tidak lama kemudian, Ridzuan tiba-tiba disahkan positif Covid-19 selepas membuat ujian calitan.
“Kemudian, selang dua hari, Nur Dayini beritahu saya dia sudah mula demam dan tekak kering. Selepas ujian calitan, dia pula positif Covid-19,” katanya pada majlis berbuka puasa di Bazar Aidilfitri Raya Che Salmah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Berkongsi lanjut mengenai keadaan kesihatan anaknya, Didie memberitahu anaknya kini sudah beransur pulih meskipun baru dua hari berada di pusat kuarantin.
“Alhamdulillah, keadaan dia bertambah baik. Selain itu, keadaan bapa dia pun semakin baik cuma masih jalani kuarantin di rumah.
“Ujian Ramadan kali ini terlalu besar terutama ketika acara bazar saya sedang berlangsung,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Didie pernah mendirikan rumah tangga dengan Ridzuan pada tahun 1991 sebelum disahkan bercerai pada tahun 2000.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Nurdhaniyah, Muhammad Dhanial, Nur Dinie, Nur Dayini, dan Nur Diyana.
Didie kini sudah pun mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama Norisham Ismail pada Mei 2009. – K! ONLINE