TUMPAT – Seramai 20 anggota bomba membantu urusan pengebumian jenazah seorang lelaki obesiti seberat 260 kilogram yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, 12 daripada anggota yang terlibat terdiri daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), Kota Bharu.
Katanya, jenazah lelaki berusia 29 tahun itu selamat dikebumikan pada pukul 2.30 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Mandol di sini.
“Lelaki itu mengembuskan nafas terakhirnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
“Ketika tiba di tanah perkuburan pada pukul 1.30 pagi, anggota bomba menggunakan tali untuk menurunkan jenazah lelaki berkenaan. Setiap anggota yang bertugas diwajibkan memakai pakaian perlindungan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Raja Arisan, pihaknya mengambil masa selama 30 minit untuk mengebumikan jenazah itu.
Tambahnya, selain lelaki itu, pasukan bomba daerah berkenaan sudah menguruskan seramai enam jenazah lain yang positif Covid-19 sejak Januari lalu. – K! ONLINE