ALOR SETAR – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini diminta untuk memberi peluang kepada peniaga bazar Ramadan di lima daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)untuk meneruskan perniagaan mereka hingga Isnin ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu bagi membolehkan peniaga untuk setidak-tidaknya menghabiskan bahan mentah yang sudah dibeli sebelum bazar ditutup.
“Kita minta rakyat patuh dengan kehendak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam hal ini (menutup bazar ramadan dan Aidilfitri), cumanya pelaksanaan penuh itu tidak akan dikuatkuasakan secara drastik.
“MKN membuat dasar tetapi yang melaksanakannya PBT, jadi PBT boleh guna sedikit budi bicara untuk hari ini, esok dan lusa untuk peniaga menghabiskan barang yang memang sudah ada dalam simpanan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada semalam mengumumkan pelaksanaan PKP di lima daerah di negeri ini bermula hari ini hingga 14 Mei depan.
Lima daerah tersebut adalah Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim di mana terdapat 709 kes aktif direkodkan di lima daerah tersebut dalam tempoh 14 hari lalu.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Kedah, Sarjakhan Abu Bakar berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada peniaga berhubung arahan penutupan bazar Ramadan dan Aidilfitri tersebut.
“Dalam menyediakan barangan untuk berniaga bagi tempoh sebulan, sudah tentu mereka ini mengeluarkan modal yang besar.
“Sudah tentu mereka meletakkan harapan besar untuk meraih keuntungan di bulan mulia ini,” tambahnya. – K! ONLINE