PUTRAJAYA – Sebanyak 20 lagi jenis barangan keperluan harian dimasukkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021 yang akan berkuat kuasa mulai 6 Mei ini.
Fasa kedua SHMMP HRP itu akan berkuat kuasa selama 15 hari bermula pada 6 Mei sehingga 20 Mei depan iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, secara keseluruhan 32 jenis barangan dimasukkan dalam senarai SHMMP berkenaan.
Beliau berkata, fasa kedua skim harga maksimum itu membabitkan barangan seperti tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, sawi hijau, terung panjang, timun, halia tua, kelapa biji (borong sahaja) dan kelapa parut (runcit sahaja).
“Selain itu, ia turut melibatkan bawang merah besar import (China) dan bawang besar (Holland), bawang putih (China), kacang tanah, ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang dan ikan demuduk,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, pelaksanaan SHMMP HRP 2021 secara berfasa itu dibuat berdasarkan data dan bukti harga barangan di pasaran serta maklum balas pengguna.
Alexander berkata, SHMMP bertujuan untuk menstabilkan harga barang yang kritikal yang menjadi menu utama bagi sesuatu perayaan untuk membolehkan seramai mungkin rakyat merayakan setiap perayaan dalam suasana tenang, ceria dan harmonis.
Menurutnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian,” katanya.
Sebelum ini, KPDNHEP melaksanakan SHMMP HRP 2021 sebagai langkah untuk mengawal kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang akan disambut pada 13 Mei ini di seluruh negara.
SHMMP HRP 2021 dilaksanakan secara berfasa dimana fasa pertama melibatkan 12 jenis barang yang telah berkuat kuasa pada 21 April lalu.
Skim itu dikuatkuasakan selepas barang-barang tersebut dilihat telah menunjukkan tanda-tanda kenaikan sejak akhir Mac melibatkan empat kategori barangan iaitu ayam, telur ayam, daging serta hasil laut. – K! ONLINE