fbpx

12 individu disyaki penonton lumba haram dikompaun RM1,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada 12 individu yang ditahan ketika berkumpul sewaktu sedang menunggu perlumbaan haram di Jalan Kuantan - Kuala Terengganu berhampiran Kerteh, Kemaman semalam.

KEMAMAN – Gara-gara berkumpul di tepi Jalan Kuantan -Terengganu berhampiran Kerteh semalam, seramai 12 individu termasuk tiga wanita dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mereka ditahan di lokasi kejadian sewaktu dipercayai mahu menonton perlumbaan kereta haram antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua 12 individu terbabit yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 35 tahun tersebut masing-masing dikompaun RM1,500.

“Selain dikenakan kompaun, mereka juga dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini untuk menjalani aktiviti keagamaan bagi memberi keinsafan.

“Kesemua individu tersebut bersahur bersama-sama sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah seterusnya mendengar tazkirah di IPD Kemaman,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, sebelum ini, pihak polis menerima aduan ramai berhubung aktiviti perlumbaan kereta haram di lokasi berkenaan sejak beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, sewaktu serbuan dilakukan, seramai sembilan lelaki dan tiga wanita tersebut sedang berkumpul di tepi jalan dipercayai sedang menunggu perlumbaan haram kereta itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI