fbpx

Tujuh tahun dipaksa jadi hamba abdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian 11 pekerja wanita Indonesia yang dikurung di sebuah asrama sebelum diselamatkan polis dalam serbuan di Taman Chi Liung, Klang semalam.

KLANG – Penderitaan 22 pekerja termasuk 11 wanita Indonesia yang dijadikan hamba abdi mo­den dengan dikurung dan dipaksa bekerja sejak tujuh tahun lalu berakhir apabila diselamatkan sepasukan polis dalam serbuan di sebuah restoran dan dua buah asrama di Taman Chi Liung di sini semalam.

Serbuan Op Pintas Bersepadu pada pukul 12.45 tengah malam itu juga dapat menyelamatkan 11 lelaki India.

Kesemua mangsa berusia 23 hingga 44 tahun.

Tiga lelaki termasuk majikan mangsa berusia 29 hingga 60 tahun yang dipercayai bertanggungjawab ke atas kesemua pekerja itu turut diberkas.

Serbuan itu dilakukan selepas polis Bahagian Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (D3), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mendapat maklumat me­ngenai penderaan tersebut.

Sebahagian pekerja lelaki India yang diselamatkan selepas menjadi mangsa kekejaman tiga lelaki termasuk majikan mereka di Taman Chi Liung, Klang semalam.

Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati ke­semua pekerja dibayar gaji se­rendah RM10 sehari berbanding RM1,500 seperti dijanjikan untuk 12 jam waktu bekerja.

Katanya, pekerja dipaksa me­lakukan tugas selama 12 jam tanpa sebarang rehat dan majikan turut mencatu makanan.

“Jika mengambil makanan berlauk, sebahagian gaji harian sebanyak RM10 akan dipotong. Pekerja juga dikurung selepas waktu bekerja dan diugut pukul sekiranya cuba melarikan diri.

“Mangsa juga tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit walaupun selepas waktu kerja dan jika terdesak, mereka perlu mendapatkan kebenaran majikan,” katanya yang membuat serbuan itu bersama Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdaga­ngan Orang, Kementerian Dalam Negeri.

Keadaan daif di dalam asrama yang menempatkan 22 pekerja sebuah restoran.

Tambahnya, soal siasat ke atas tiga suspek itu kemudian me­nemukan 40 keping pasport, dua telefon bimbit, sebuah kereta jenis BMW dan wang hasil perniagaan berjumlah RM3,858.

Menurut Fadil, polis sedang menyiasat tempoh sebenar ke­semua mangsa telah diperlakukan sedemikian, namun tidak menolak kemungkinan telah berlaku sejak satu hingga tujuh tahun lalu.

Mangsa wanita serta lelaki masing-masing dihantar ke rumah perlindungan di Selangor dan Melaka hari ini selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

Suspek pula direman selama lima hari mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI