KOTA BHARU – Keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Allahyarham Dr. Md. Yusnan Yusof menafikan dakwaan orang ramai yang mengatakan bahawa arwah meninggal dunia disebabkan kesan vaksin Covid-19 dos kedua pada 9 April lalu.
Perkara itu disahkan oleh anak keduanya, Mohammad Baihaqi, 28, yang memaklumkan bahawa arwah sememangnya mempunyai rekod kesihatan penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Menurutnya, bukan itu sahaja arwah pernah menjalani rawatan angiogram penyakit jantung yang dialaminya sejak lima lalu.
“Dakwaan bapa saya meninggal dunia akibat vaksin tidak berasas. Ini kerana, dia mempunyai masalah kesihatan sebelum ini selain turut mendapatkan rawatan insulin penyakit kencing manis.
“Sejujurnya saya dan keluarga kesal dengan penyebaran berita tidak benar itu. Oleh itu, kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan baba (bapa) meninggal dunia disebabkan pengambilan vaksin,” katanya.
Mohammad Baihaqi berkata demikian ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Pondok Haji Hassan, Ketereh di sini hari ini.
Jenazah Md. Yusnan selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu pada pukul 2.30 petang disembahyangkan di Masjid Muhammadi.
Mengulas lanjut, Mohammad Baihaqi berkata, dia menerima beberapa kiriman WhatsApp dan pautan hantaran status di laman sosial yang mengaitkan kematian bapanya dengan vaksin Covid-19.
Katanya, arwah bapanya yang juga Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan merupakan
seorang yang aktif dan suka turun padang bertemu masyarakat. – K! ONLINE