KOTA BHARU – Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Dr. Md.Yusnan Yusof sempat mengimamkan solat sunat tarawih bersama ahli keluarganya sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.
Anak ketiga arwah, Mohd. Jawwad, 27, berkata, ketika menunaikan solat sunat itu, arwah bapanya tenang seperti hari-hari sebelumnya dan tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia sedang sakit.
Katanya, selesai solat, arwah bersama beberapa orang adik beradiknya keluar rumah dengan menaiki kereta untuk menyelesaikan perkara berkaitan sebuah persatuan di sini kira-kira pukul 10 malam.
“Apabila pulang ke rumah, dia masuk tidur dan bangun semula kira-kira pukul 2 pagi untuk ke bilik air sebelum terjatuh di tepi katilnya.
“Arwah sempat menyebut kalimah Allah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.28 pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Batu 12, Ketereh di sini hari ini.
Menurut Mohd. Jawwad, ibunya, Rosmaini Mat Daud 52, yang terkejut dengan kejadian itu telah bergegas naik ke tingkat atas rumah untuk mengejutkan adik-beradiknya sebelum menghubungi ambulans.
Katanya, arwah bapa merupakan seorang yang tegas dan penyayang selain sering mengingatkan setiap ahli keluarga agar sentiasa solat lima waktu secara berjemaah.
“Sebelum arwah meninggalkan kami sekeluarga, dia kelihatan sedikit pendiam sejak seminggu lalu, namun masih aktif melakukan pekerjaan harian.”
“Bapa saya menghidap penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan tiga tahun lalu,” katanya.
Tambah Mohd. Jawwad, jenazah bapanya akan disolatkan di Masjid Muhammadi di sini selepas solat Jumaat hari ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Hassan, Ketereh. – K! ONLINE