SEBERANG PERAI – Pengendali Pelabuhan Pulau Pinang, Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) meletakkan sasaran untuk mengendalikan sehingga 50,000 Unit Bersamaan 20 Kaki (TEU) dalam tempoh setahun pertama operasinya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, V. Sasedharan berkata, sasaran itu dibuat susulan penerimaan kontena transhipment atau transperkapalan pertama berjumlah 223 TEU dari kapal kontena Ever Chant semalam.
Menurut Sasedharan, ia tetap bergantung kepada situasi ekonomi global.
“Pandemik Covid-19 masih ada dan kami perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam sebarang situasi.
“Bagaimanapun, kami optimis dengan sasaran ini susulan kejayaan mulakan proses transhipment pertama hanya selepas dua bulan Terminal NBCT (Pangkalan Kontena Butterworth Utara) diwartakan sebagai Zon Komersial Bebas (FCZ) berkuat kuasa 1 Februari lalu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pencapaian Ulung Operasi di NBCT yang disempurnakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng di Butterworth semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi PPSB, Radhi Mohamad dan Naib Presiden Kanan Evergreen Marine Corp. (Malaysia) Sdn. Bhd., Hng Sau Yang.
Ketibaan 223 TEU itu dikatakan membuka lembaran baharu buat Pelabuhan Pulau Pinang bagi mencapai tahap pengendalian kontena yang lebih efisien, selaras dengan statusnya sebagai FCZ.
Dalam pada itu, Teik Cheng berkata, kapal Ever Chant yang dimiliki oleh syarikat Evergreen Marine Corp. merupakan kapal pertama yang membolehkan PPSB beroperasi sebagai FCZ buat kali pertama di NBCT.
Katanya, sejumlah 667 TEU dari kapal itu akan ditempatkan di NBCT, manakala 223 TEU lagi akan dikategorikan sebagai kontena untuk tujuan transhipment.
“Pelabuhan asal kapal ini ialah dari Myanmar, manakala destinasi singgahan seterusnya ialah di Pelabuhan Laem Chabang, Thailand sebelum mereka meneruskan pelayaran ke China,” ujarnya.