KEMAMAN – Seorang pembantu kedai makan trauma selepas menjadi mangsa raba seorang lelaki sewaktu menunggang motosikal di belakang sebuah pasaraya di Jalan Pengkalan Pandan, Chukai di sini pada Selasa lalu.
Sewaktu kejadian pada pukul 9.45 malam tersebut, mangsa berusia 24 tahun dalam perjalanan untuk membeli barangan di sebuah pasar raya telah diekori suspek dengan motosikal sebelum dicabul.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, motosikal ditunggangi mangsa yang berstatus isteri orang telah diekori suspek sejauh kira-kira lima kilometer.
“Wanita itu tidak sedap hati diekori kemudianya memutuskan tidak jadi ke pasar raya lalu berpatah balik untuk pulang ke rumah.
“Sewaktu dalam pulang, suspek yang terus mengekorinya tiba-tiba merapatkan motosikanya sebelum bertindak meraba payudara mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Hanyan berkata, lelaki itu terus memecut laju motosikal namun bernasib malang apabila terserempak dengan suami mangsa yang kebetulan sedang mencari isterinya.
Jelas beliau, geram melihat isterinya dicabul di depan mata, suami mangsa nekad mengejar suspek sebelum berjaya menangkap lelaki itu pada pukul 10.45 malam.
“Suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
“Kita percaya ramai lagi yang pernah dicabul suspek. Sehubungan itu, mana-mana wanita yang pernah menjadi mangsa agar tampil membuat laporan polis segera,” katanya. – K! ONLINE