fbpx

Lima daerah di Kedah mula PKP esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lima daerah di negeri Kedah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok sehingga 14 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 709 kes aktif di semua daerah tersebut dalam tempoh 14 hari sehingga semalam.

“Pelaksanaan PKP bertujuan menyekat penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain memandangkan kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan awam, makmal dan hospital di Kedah semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kunak, Sabah melibatkan Kampung Skim Cocos yang merekodkan lapan kes daripada 186 ujian saringan serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai yang mencatat 18 kes positif daripada 185 ujian saringan selama 14 hari bermula esok.

Tambahnya, PKPD turut dikenakan di Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, Kuching, Sarawak dalam tempoh sama berikutan kenaikan kes berlaku secara mendadak di lokaliti tersebut dengan 17 kes positif daripada 148 ujian saringan yang dilakukan.

Ismail berkata, kerajaan melanjutkan PKPD di Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan yang sepatutnya tamat esok sehingga 14 Mei ini dengan sebanyak 67 kes positif direkodkan daripada 596 ujian saringan sementara 356 sampel lagi sedang menunggu keputusan.

Beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di Taman Taman Mesra Bako, Kuching, Sarawak serta Kampung Tengah, Betong, Sarawak selain tiga lagi kawasan perumahan di Tawau, Sabah iaitu Taman Hilltop, Taman Bukit Bintang dan Taman Berkeley.

“KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke pusat kuarantin.

“Justeru kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti berkenaan bermula esok seperti yang dijadualkan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI