KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mencadangkan agar jawatan pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dilantik bukan dalam kalangan ahli politik bagi mengelak pasukan itu diperkotak-katikkan dengan unsur-unsur politik yang bakal menjejaskan reputasi dan nama baik pasukan itu.
Tegas beliau, jawatan berkenaan sepatutnya disandang oleh mereka yang bukan dalam kalangan ahli politik.
“Lebih elok jika SPP tidak dipengerusikan oleh seorang menteri, sebaik-baiknya pelantikan dibuat dalam kalangan mereka yang tidak terbabit dalam parti politik seperti bekas atau ketua hakim.
“Bila ahli politik yang dilantik, urusan dalam PDRM telah dicemari dengan unsur-unsur politik yang akhirnya merosakkan nama pasukan itu sendiri,” ujarnya ketika sidang akhbar terakhirnya di Bukit Aman di sini lewat petang tadi.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya telah menyuarakan pandangan kepada kerajaan agar mewujudkan pejabat khas untuk SPP bagi kelancaran jawatankuasa itu menjalankan tugas menguruskan kebajikan 129,000 warga PDRM di seluruh negara.
“Baru-baru ini saya memohon agar pejabat khas untuk SPP disediakan. Ini berlaku setelah saya membuat rayuan kepada pihak berkenaan dan mesyuarat juga mesti dibuat sekurang-kurangnya sebulan sekali.
“SPP amat penting bagi PDRM, satu ke dua jam tidak cukup tempoh masa untuk bermesyuarat bagi menyelesaikan berpuluh kes tatatertib yang masih tertangguh hingga kini.
“Apa saya cakap ni bukan nak lepaskan geram atau merajuk sebab tak dapat sambung jadi Ketua Polis Negara, sebaliknya ia untuk kebaikan dan masa depan PDRM sendiri,” ujarnya. – K! ONLINE