fbpx

Enggan toleh ke belakang, Serina fokus bisnes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERINA REDZUAWAN

KONTROVERSI pernikahan dan fitnah kartel dadah yang dilaluinya sejak kebelakangan ini tidak semena-mena membuatkan nama pelakon, Serina Redzuawan menjadi sebutan ramai.

Ditambah pula dengan kata-kata nista yang tidak henti-henti dilemparkan netizen ke mukanya, Serina terfikir, seolah-olah orang lain yang lebih mengetahui apa yang berlaku di sebalik kehidupannya selama ini.

Enggan lagi menoleh ke belakang, ibu kepada dua cahaya mata itu mahu kembali fokus, khususnya merancakkan lagi bisnes telekung yang diceburinya sejak dua tahun lalu.

Kata Serina, apa yang terjadi biarlah berlalu dan dia perlu berpijak dengan realiti iaitu kehidupan perlu diteruskan.

Malah dia tidak mahu bisnes yang dibina daripada kosong, menuju kemusnahan begitu sahaja. Tambahan pula, dia memiliki ramai ejen. Serina tidak mahu orang lain turut terjejas ekoran episod kehidupan penuh ranjau yang dilaluinya.

PERJALANAN Serina untuk hidup bahagia bersama Meor Mohammad Aidid dan kembali hidup berumah tangga diawali dengan kontroversi.

“Apa yang keluar dalam media sosial berunsur fitnah semata-mata. Ada juga yang menjatuhkan nama baik dan reputasi perniagaan yang saya miliki.

“Namun apa yang berlaku biarlah menjadi pengajaran dan saya perlu bangkit untuk terus berjuang kerana ini jalan yang saya pilih.

“Lagi pun saya menceburi bisnes telekung ini sejak Oktober 2019 dan saya memilih bisnes ini kerana ia merupakan satu-satunya platform yang mengingatkan diri untuk terus beristiqamah dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Di samping berdakwah secara halus, sedikit sebanyak bisnes ini memberi peringatan kepada saya tentang kepentingan solat termasuk kepada orang ramai,” kata isteri kepada Meor Mohammad Aidid itu.

Berkongsi pengalaman menjadi usahawan, Serina, 39, memberitahu, pada peringkat awal bisnes telekung jenama Serina Inspire yang diusahakannya, dia memberi fokus kepada telekung yang bersaiz besar.

Dia mahu setiap pembeli yang menggunakan telekung tersebut berpuas hati dengan reka bentuk yang selesa dan berkualiti terutama bagi mereka yang berbadan gempal.

Apa yang menggembirakannya, selepas hampir dua tahun berada di pasaran, telekung Serina Inspire sudah mengeluarkan lebih 10 corak dengan purata jumlah jualan melebihi 1,000 pasang sebulan.

SERINA sudah bergelar usahawan telekung sejak tahun 2019.

Mengulas lanjut, anak kepada cef popular, Cef Wan itu berkata, pembabitannya dalam bisnes telekung bukan dibuat secara tergesa-gesa dan ingin mengambil kesempatan atas kariernya sebagai selebriti.

“Saya juga membuat kajian mengenai pola asli telekung di Malaysia yang berdagu lebar, selesa dan patuh syariah. Malah, telekung Serina Inspire menitikberatkan keselesaan pengguna berbadan montel, dengan saiz kain lebar dan labuh agar pengguna berasa selesa ketika memakainya.

“Paling utama, jaminan wang dikembalikan jika pelanggan tidak berpuas hati dengan reka bentuk atau jenis kain yang digunakan,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Serina mengakui dia menaruh harapan tinggi agar bidang bisnes telekung menjadi periuk nasinya selepas ini.

Memasang cita-cita tinggi, dia menyasarkan produk keluarannya berkembang maju seiring dengan jenama-jenama lain yang terkenal di pasaran termasuk dapat dieksport ke luar negara.

“Serina Inspire tidak berniat untuk bersaing sebaliknya sekadar ingin memberi alternatif kepada para muslimah di luar sana membuat pilihan koleksi telekung untuk kegunaan solat mereka lima waktu.

“Di samping itu, saya berasa puas kerana dapat melaksanakan fardu kifayah yang sedikit sebanyak mendorong untuk terus istiqamah dalam menjadi Muslimah yang sempurna,” tutupnya seraya memohon maaf kepada semua atas segala kekeruhan yang menimpa dirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI