GEORGE TOWN – Enam bazar Ramadan di negeri ini disahkan ditutup selama tiga hari bermula 2 Mei sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
Bazar Ramadan di bahagian pulau yang diarahkan tutup adalah di Kampung Melayu, di hadapan Pasar Taman Tun Sardon, di perkarangan Masjid Daerah Barat Daya dan bazar Ramadan di hadapan Kompleks Bukit Gedung.
Selain itu, dua lagi bazar di bahagian Seberang Perai iaitu bazar Ramadan At-Takwa Taman Bertam Indah dan bazar Ramadan MPKK Jalan Tenggiri turut diarahkan tutup selama tiga hari sehingga 4 Mei ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ar Yew Tung Seang berkata, penutupan empat bazar di bahagian pulau itu telah dimuat naik di media sosial MBPP untuk makluman orang ramai.
“Semua penganjur Bazar Ramadan dan peniaga-peniaga serta pengunjung-pengunjung diseru untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan penutupan akan dilaksanakan sekiranya didapati SOP tidak dipatuhi.
“Pihak MBPP memandang serius perkara ini dan akan mempergiatkan lagi operasi pemeriksaan SOP ke atas bazar-bazar sekitar kawasan pulau,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mahamud berkata, peniaga yang terlibat dengan penutupan bazar di Seberang Perai itu boleh mencadangkan untuk berniaga di lokasi lain yang dipersetujui oleh pihaknya dan penganjur.
“MBSP boleh memberi kebenaran kepada penganjur untuk beroperasi di tempat baru dengan pematuhan SOP antaranya hanya seorang wakil daripada satu keluarga boleh memasuki bazar.
“Selain itu, penganjur juga perlu memastikan ada petugas tambahan dilantik bagi memastikan pengunjung tidak bersesak,” katanya.
Tambahnya, penganjur juga perlu memastikan SOP lain seperti pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu dan sebagainya dipatuhi.
“Kerja-kerja disinfeksi perlu dilakukan penganjur mulai 2 Mei dan mereka boleh memohon bantuan MBSP sekiranya menghadapi masalah,” katanya. – K! ONLINE