LAUSANNE – Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengesahkan edisi sulung Hoki Dunia 5s (lima sebelah) yang bakal disertai gergasi-gergasi dunia akan diadakan di Lausanne, Switzerland pada 11 dan 12 September depan.
Ia adalah langkah pertama FIH untuk mengembangkan sukan hoki lima sebelah secara global serta pada masa sama sebagai promosi dan pendedahan sebelum penganjuran pertama Piala Dunia Hoki 5s yang dijangka berlangsung pada tahun 2023.
“Hoki 5s menawarkan aksi hoki tanpa henti kerana bola akan sentiasa dimainkan selama lebih kurang 90 peratus dalam sesuatu perlawanan dan ia melibatkan aspek kepantasan.
“Kebiasaannya, hoki 5s juga menjanjikan lebih banyak jaringan gol berbanding format tradisi 11 pemain kerana pemain boleh menjaringkan gol dari mana-mana bahagian padang selepas garisan serangan.
“Hoki 5s juga dimainkan dalam kawasan padang yang lebih kecil sekali gus membolehkan penonton merasai pengalaman baharu walaupun dimainkan di tengah-tengah bandar besar,” menurut kenyataan FIH.
Malaysia antara pasukan yang dilaporkan bakal mengambil bahagian bersama-sama India, Switzerland, England dan Jerman pada saingan itu nanti.
Kategori wanita pula bakal menyaksikan pasukan-pasukan seperti Switzerland, England, Jerman, India dan Afrika Selatan pada kejohanan di Place de la Navigation, lokasi ikonik yang berhampiran dengan Lausanne. – AGENSI