KOTA TINGGI – Kehadiran kumpulan monyet liar yang mengganggu kawasan setempat sejak sekian lama di Jalan Nuri, Felda Penggeli Timur di sini meresahkan penduduk apabila keadaan tersebut dilihat tidak terkawal.
“Dah tak kuasa saya nak halau monyet-monyet ni,” luah Abdul Majid Abdul Kadir, 67, seorang penduduk yang berdepan dengan masalah gangguan monyet liar sejak beberapa tahun ini.
Abdul Majid berkata, haiwan itu sering kali menganggu kediamannya dan juga penduduk berhampiran terutama pada waktu pagi dan petang.
Katanya, monyet liar itu juga ‘pantang’ melihat pintu kediaman penduduk terbuka pasti akan masuk ke dalam untuk mencari makanan.
Tambahnya, kawasan rumahnya yang berhampiran belukar turut menjadi faktor kehadiran monyet ke kawasan tersebut.
“Bila pintu rumah terbuka monyet akan masuk cari telur. Jadi kami di sini tidak boleh leka dan perlu pastikan pintu rumah sentiasa ditutup.
“Keadaan ini sudah lama berlaku namun semakin menjadi-jadi sejak beberapa minggu ini. Jika waktu musim buah-buahan memang monyet liar sahaja yang kerjakan pokok-pokok penduduk yang ada,” katanya ketika ditemui di sini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Panti, Hahasrin Hashim menyerahkan sumbangan sebuah perangkap bersaiz besar untuk diletakkan di jalan berkenaan yang menjadi lokasi tumpuan kumpulan monyet tersebut.
Jelasnya, selain kampung itu, pihaknya juga akan menyerahkan bantuan sama secara berperingkat di beberapa kawasan lain termasuk taman dan kampung yang berdepan masalah monyet liar juga anjing liar.-K! ONLINE