PETALING JAYA – Pelakon Sweet Qismina memaklumkan dirinya kini sudah bebas daripada virus Covid-19.
Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-30 (ABPBH30) itu memaklumkan perkara tersebut menerusi Instagram miliknya semalam.
“Finally Covid-19 free! (Akhirnya, bebas Covid-19!).
“Memang sukar mental dan fizikal tapi Alhamdulillah dapat tempuhi jua. Covid-19 memang betul. Tolong jangan buat main. Kalau sayang keluarga, jaga diri, jaga jarak. Buat ujian calitan bila perlu dan yang paling penting, tolong jangan pentingkan diri,” katanya.
Tambah Sweet atau nama lengkapnya, Farhanna Qismina Supandi, jangan salahkan orang lain andai diri dijangkiti Covid-19.
“Ada yang beria-ia jaga tapi kena Covid-19. Tiada siapa nak penyakit ini. Sayalah antara orang yang sanggup buat ujian calitan dua minggu sekali tapi Allah kata nak kena, memang kena juga. Jadi, jangan salahkan orang lain.
“Semua kuasa Allah dan Dia tahu kita kuat untuk semua ini. Terima kasih untuk satu pengalaman yang luar biasa,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Sweet, 24, mengesahkan dirinya dijangkiti wabak Covid-19 selepas beberapa hari tidak sihat dan mengalami kesukaran bernafas.
Menurutnya, dia membuat ujian calitan pada Selasa minggu lalu dan telah menjalani tempoh rawatan dan kuarantin di Pusat Kuarantin Ipoh, Perak. – K! ONLINE