JEMPOL – Seorang buruh ladang mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 584 karton rokok pelbagai jenis disyaki rokok seludup di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, tadi.
Tertuduh Khan Mosharaf, 44, warganegara Bangladesh membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab setelah jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan.
Berdasarkan fakta kes, pada 12 April lalu lebih kurang pukul 7.30 pagi, pemeriksaan ke atas tertuduh yang tiba di Pasar Sementara Felda Palong 4,5 dan 6 dengan menaiki motosikal telah menemui 40 karton rokok jenama Tauro di dalam motosikal berkenaan.
Soal siasat ke atas tertuduh telah membawa ke Rumah Kongsi Tidak Bernombor di Felda Palong 6 dan telah memiliki rokok seludup dengan nilaian keseluruhan barang sitaan sebanyak RM5781.60.
Barang berkenaan adalah dilarang import di bawah perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah 135 (1)(v)(aa) Akta Kastam.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dari tarikh tertuduh ditangkap.
Pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi. – K! ONLINE