fbpx

Belum masa rasa selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CITY berjaya mendapat bekalan dua gol di tempat lawan selepas berjaya menundukkan PSG 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Paris awal pagi semalam. – AFP

PARIS – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menggesa barisan pemainnya agar tidak cepat selesa dengan kejayaan menewaskan finalis musim lalu, Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Parc des Princes awal pagi semalam.

Guardiola, 50, menganggap PSG mempunyai kemampuan untuk mengubah situasi jika mereka mengambil mudah aksi timbal balik meskipun membawa kelebihan dua gol tempat lawan ke ke Stadium Etihad minggu depan.

Pengendali dari Sepanyol itu percaya The Citizens mampu melangkah ke pentas final buat kali pertama dalam sejarah kelab berkenaan jika semua pemain dapat mempamerkan persembahan sama seperti awal pagi semalam.

“Kami berdepan pasukan yang menghasilkan empat jaringan di Camp Nou dan tiga gol di Munich. Ia membuktikan pasukan seperti ini boleh melakukan sesuatu dengan kualiti pemain yang dimiliki.

“Mungkin sebab itu kami agak berhati-hati pada awal permainan. Saya tidak mengeluh kerana amat memahami perkara sebegini apabila anda benar-benar mahu menjalankan tanggungjawab ke final.

“Cuma saya mahu pemain buang perasaan malu kalau kalah sekalipun. Kami perlu cuba sedaya upaya untuk mara ke final. Andai kata kami gagal, kami akan cuba lagi musim depan,” kata Guardiola.

City dikejutkan dengan gol awal PSG daripada Marquinhos dalam babak pertama sebelum bangkit memenangi perlawanan itu dengan dua gol di separuh masa kedua melalui Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez pada minit ke-64 serta 71.

Layangan kad merah terhadap pemain tengah PSG, Idrissa Gueye pada minit ke-77 secara tidak langsung membantu City untuk menguasai keseluruhan permainan meskipun gagal menambah jaringan selepas itu. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI