BANGKOK – Seorang bapa kacak berusia 56 tahun menjadi kegilaan para pengguna TikTok setelah videonya dimuat naik oleh anak perempuannya, sekaligus melonjakkan jumlah pengikut gadis itu dalam masa yang singkat, lapor portal Mothership hari ini.
Gadis tersebut yang menggunakan akaun @meturr, memuat naik video pertamanya di TikTok pada 12 Februari 2021, dan sehingga kini dia meraih lebih 490,000 pengikut hanya dalam tempoh beberapa minggu.
Ia susulan tindakan gadis berusia 20 tahun itu yang memuat naik beberapa buah videonya bersama bapanya yang kacak sehingga menarik perhatian netizen untuk mengikuti video-videonya.
Video yang paling mendapat tontonan ramai dimuat naik pada 28 Mac dengan sejumlah 17.3 juta tontonan dan angka itu semakin meningkat.
Video tersebut memaparkan aksi kedua-dua beranak itu melakonkan semula gaya sekeping gambar lama mereka yang diambil hampir 20 tahun lepas.
Kebanyakan video di akaun gadis itu memaparkan bapanya sedang melakukan aktiviti seperti bersenam, menunggang motosikal berkuasa besar atau dikelilingi oleh beberapa buah kereta mewahnya di dalam garaj.
Turut dikongsi gadis tersebut adalah gambar lama ibunya dalam sebuah video yang mendapat 2.2 juta tontonan.
Rata-rata pengguna melahirkan rasa kagum dengan penampilan bapanya yang kelihatan tidak ditelan usia, malah ada yang tersilap menyangka mereka ialah pasangan kekasih.
Dalam pada itu, berita baik buat netizen adalah bapa gadis tersebut sebenarnya turut memiliki akaun TikTok yang menggunakan nama @im_passavee.
Dia turut menulis profil dirinya sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat pemaju hartanah, Realty One Development yang berpangkalan di Bangkok. – Agensi