KLANG – Kira-kira 100 penduduk Kampung Bukit Kapar membantah pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang menyebabkan penutupan Jalan Pusara sehingga menyukarkan segala urusan ke tanah perkuburan Islam di sini.
Nazir Masjid Kampung Bukit Kapar, Masadan Mushdin, 56, berkata, jalan berkenaan merupakan salah sebuah jalan utama yang digunakan oleh kira-kira 20,000 penduduk kampung.
Katanya, beberapa penduduk kampung berkenaan telah mewaqafkan tanah mereka sejak 40 tahun lalu bagi pembinaan jalan itu demi kemudahan orang ramai.
“Penutupan jalan itu dikesan sejak Julai tahun lalu apabila pihak syarikat konsesi WCE menambak tinggi jalan tersebut dengan pasir.
“Penduduk terpaksa memandu sejauh lima kilometer dari Jalan Iskandar di sini untuk sebarang urusan di tanah perkuburan tersebut,” katanya semasa bantahan tersebut di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya telah menghantar surat bantahan beberapa bulan sebelum ini susulan penutupan itu dilakukan tanpa sebarang perbincangan dengan penduduk kampung.
Ujarnya, pihaknya telah mengemukakan cadangan termasuk pembinaan sebuah terowong dua hala yang menyambungkan Jalan Pusara sedia ada dengan laluan ke tanah perkuburan itu.
“Kami berharap satu keputusan menang-menang akan diperoleh selepas pihak pemaju bersedia berbincang pada Selasa depan,” katanya. -K!ONLINE