fbpx

Agong nasihat rakyat patuh SOP Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat supaya tidak mengambil sikap sambil lewa dengan arahan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi memastikan wabak itu dapat dikawal dan dibendung dengan baik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda gusar terhadap peningkatan berterusan jangkitan Covid-19 yang mencecah lebih 3,000 kes positif harian.

Baginda menyeru rakyat supaya sentiasa berdisiplin mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan kerajaan terutamanya di bazar Ramadan, sekolah, majlis keraian umum seperti majlis berbuka puasa dan kenduri bagi mengelakkan negara dibadai tsunami Covid-19 seperti yang dialami beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah.

“Baginda mengingatkan rakyat supaya tidak hilang fokus dan berwaspada demi kesihatan dan keselamatan diri, ahli keluarga, serta masyarakat.

“Kesan gelombang keempat wabak Covid-19, jika berlaku akan mengancam dan membuatkan ekonomi negara serta sosioekonomi rakyat berada dalam keadaan meruncing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baginda menzahirkan kegusaran berikutan laporan-laporan berita terkini berkenaan penutupan sekolah disebabkan penularan Covid-19 dan pematuhan SOP di majlis keraian dan bazar Ramadan di beberapa negeri masih belum mencapai tahap memuaskan.

Turut membimbangkan baginda ialah laporan yang menyatakan hospital swasta di Lembah Klang berdepan masalah kekurangan katil bagi menampung jumlah pesakit berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak dua minggu lalu.

Dilaporkan Kementerian Kesihatan turut meramalkan kes harian negara boleh meningkat melebihi 3,000 selepas Hari Raya Aidilfitri jika pematuhan SOP berada pada tahap rendah yang secara langsung turut boleh meningkatkan kadar kebolehjangkitan.

Baginda berharap rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat walaupun tidak bergejala.

Menurut baginda, rakyat sewajarnya jujur pada diri sendiri dan masyarakat dengan mematuhi arahan kuarantin dan SOP untuk mengelak kemudaratan kepada masyarakat dan negara.

“Baginda menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama dan komitmen rakyat dan kerajaan kita mampu sekali lagi melandaikan penularan jangkitan Covid-19.

“Mengambil keberkatan Ramadan, baginda mengajak rakyat bersama baginda mendoakan semoga negara sentiasa diberkati dan dilindungi dan ancaman wabak Covid-19 berakhir dengan segera,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI