PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengarahkan sejumlah 22 bazar Ramadan di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) di enam negeri dan satu wilayah persekutuan ditutup mulai esok.
Perkara itu dinyatakan dalam surat rasmi yang ditandatangani Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan selepas persetujuan mengenai penutupan itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) 28 April lalu.
Menurutnya, KPKT telah menerima laporan daripada Hide (Hotspot Identification by Dynamic Engagement), Bank Negara yang telah mengesan ancaman penyebaran jangkitan Covid-19 di kawasan bazar Ramadan seperti yang dilampirkan.
“Ancaman penyebaran ini adalah hasil analisis pengesanan kontak yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan melalui aplikasi MySejahtera.
“Sehubungan itu, kerjasama diperlukan untuk menutup operasi bazar Ramadan berkuat kuasa pada 1 Mei ini bagi membendung dan mengawal jangkitan serta peningkatan kes Covid-19,” katanya.
Sementara itu, KPKT berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
Bazar Ramadan yang diarahkan tutup adalah seperti berikut:
Johor: Belatuk Taman Scientex, Pasir Gudang; Kampung Pasir, Jalan Mata Kuching, Johor Bahru; @Mart Kempas, Johor Bahru; Lok Heng, Kota Tinggi.
Kedah: Taman Selasih, Kulim; Baling 2021, Baling; Kupang 2021, Baling.
Pahang: Lurah Semantan, Temerloh; Temerloh Jaya, Temerloh.
Perak: Bazar Nenas, Kampung Selabak, Teluk Intan.
Pulau Pinang: MPKK Jalan Tenggiri, Seberang Perai; Attakwa Taman Bertam Indah, Seberang Perai; Bazar Ramadhan MBPP/MBSP; Kampung Melayu; Masjid Daerah Barat Daya; Iftar Ramadhan Jalan Berangan Bkt Bntng 2021; Bukit Gedung; Taman Tun Sardon.
Selangor: Pusat Sementara Penjaja/Basar Ramadhan Puncak Jalil, Subang Jaya; Stesen LRT Cempaka, Ampang Jaya.
Kuala Lumpur: Taman Setiawangsa; Jalan Raja Alang. – K! ONLINE