KUANTAN – Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pas Pahang memeterai perjanjian Muafakat Nasional (MN) dalam satu majlis ringkas di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang di sini, malam tadi.
Perjanjian itu ditandatangani antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar.
Wan Rosdy ketika membaca kenyataan bersama antara UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pahang serta Pas negeri itu memberi jaminan bahawa modul perpaduan ummah yang dipersetujui di Pahang perlu dijadikan panduan serta rujukan kepada negeri lain.
“Perjanjian ini dibuat bagi memperkukuhkan asas (penubuhan) MN seperti dipersetujui di peringkat pusat sebelum ini.
“Dalam perjanjian ditandatangani hari ini yang mempunyai lapan perkara utama, kita ingin memberi jaminan bahawa persetujuan asal seperti UMNO Pahang bersetuju untuk tidak meletakkan calon di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi calon daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.
Beliau berkata, UMNO Pahang juga bersetuju untuk tidak menjalinkan kerjasama atau menyokong mana-mana calon yang bertanding di lapan kerusi berkenaan, kecuali jika yang bertanding itu adalah calon daripada Pas.
“Begitu juga sebaliknya, kita berharap Pas Pahang berpandukan persetujuan itu untuk tidak akan meletakkan calon di 25 kerusi dimenangi BN pada PRU-14 lalu dan tidak akan menyokong mana-mana calon, kecuali daripada BN atau UMNO yang dipilih sebagai calon di kerusi terbabit,” katanya.
Wan Rosdy dan Rosli bagaimanapun bersetuju untuk membincangkan lebih lanjut mengenai kedudukan sembilan lagi kerusi DUN yang ketika ini disandang wakil rakyat daripada Pakatan Harapan.
Sementara itu, Rosli ketika ditemui selepas majlis itu berkata, Pas Pahang akan memaklumkan kepada pucuk pimpinan parti itu di peringkat pusat mengenai hasrat dan pendirian MN Pahang dan berharap ia dapat diberi pertimbangan sewajarnya.
“Kita akan maklumkan kepada (Pas Pusat) dan terpulang kepada mereka untuk melihat kepada usaha yang kita lakukan hari ini, semuanya bergantung kepada keputusan pusat, UMNO pun perlu rujuk kepada pendirian pusat dan Pas pun begitu juga.
“Apa yang penting kita mahu mereka melihat usaha yang sudah kita mulakan hari ini dan kita tengok apa pendirian (pimpinan pusat) dalam hal ini,” katanya. -K! ONLINE