PETALING JAYA – Tiga lelaki berjaya diberkas semalam selepas disyaki terbabit dalam satu kejadian pecah masuk sebuah rumah di Taman Sri Gombak, Batu Caves dekat sini pada Isnin lalu.
Ketiga-tiga yang ditahan merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 21 tahun.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua mereka telah ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar Gombak dan Hulu Selangor.
“Kejadian berlaku pada Isnin lalu pada pukul 3.30 petang di mana dua suspek tersebut telah memecah masuk sebuah rumah dengan memakai topi keledar dan bersenjata di Taman Sri Gombak.
“Salah seorang suspek telah mengacukan sebilah pisau ke leher seorang wanita dan memaksa mangsa membuka peti keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, suspek kemudian telah mengambil barangan peribadi di dalam peti keselamatan itu yang mengandungi rantai emas (4), subang emas (4), cincin emas (3), sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM2,000 serta wang tunai 500 USD. Keseluruhan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM40,000.
“Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah berjaya menahan ketiga-tiga suspek termasuk merampas barangan kes dipercayai milik mangsa.
“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Siasatan akan diteruskan bagi mengesan rakan suspek yang masih bebas selain mengenal pasti penglibatan kumpulan itu dalam kes lain,” ujarnya.
Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan telah dibenarkan tahan reman selama tujuh hari sehingga Selasa depan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata. – K! ONLINE