COLOMBO, Sri Lanka – Rang undang-undang (RUU) melarang pemakaian burqa atau purdah bagi wanita Islam di Sri Lanka secara kekal akan dibentang di Parlimen bulan depan, kata seorang pegawai pemerintah semalam.
Hal tersebut diumumkan sehari selepas Kabinet meluluskan cadangan melarang pemakaian purdah di tempat awam dengan alasan keselamatan negara, lapor akhbar Arab News.
“Kerangka keputusan Kabinet mengenai larangan burqa telah dihantar ke jabatan Jaksa Agung dan RUU tersebut akan disampaikan kepada badan legislatif dalam tempoh sebulan,” kata Menteri Keamanan Umum, Sarath Weerasekara.
Bulan lalu, Weerasekara meminta persetujuan Kabinet untuk melarang pemakaian burqa iaitu pakaian wanita Muslim yang menutup seluruh badan termasuk wajah mereka dengan alasan ia adalah tanda ekstremisme agama dengan kesan langsung terhadap keselamatan negara.
Usul tersebut mendapat kritikan meluas namun kerajaan mengatakan Sri Lanka tidak terburu-buru untuk menerapkan larangan tersebut.
Larangan sementara pemakaian burqa dikenakan selepas serangan bom ketika sambutan Hari Easter yang mengorbankan 269 orang dan mencederakan lebih 500 yang lain di lokasi berasingan di Sri Lanka pada 21 April 2019.
Negara itu juga merancang mengharamkan lebih 1,000 madrasah daripada hampir 2,300 institusi di seluruh Sri Lanka dengan Weerasekara mengatakan ia tidak berdaftar dengan pihak berkuasa atau gagal mengikuti polisi pendidikan nasional.
Orang Islam adalah minoriti di Sri Lanka dan merangkumi hampir 10 peratus daripada keseluruhan 22 juta penduduk dengan 70 peratus rakyat lain beragama Buddha. – Agensi