PETALING JAYA – Seramai 18 individu disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian ditahan menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Taman Orked Desa, Cheras di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 11.45 malam itu telah dijalankan sepasukan polis dari cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada lelaki warga China (5), wanita warga China (5) dan lapan lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai mempromosikan perjudian dalam talian bagi pasaran tempatan dan premis tersebut telah beroperasi sebagai pusat panggilan sejak tiga bulan yang lalu dengan bayaran sewa sebanyak RM25,000 sebulan.
“Setiap pekerja menerima upah antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan manakala penjaga premis menerima upah sebanyak RM15,000 sebulan dan kegiatan itu juga dipercayai mampu meraih keuntungan harian sebanyak RM100,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, polis turut merampas sebanyak 109 buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah unit modem, set komputer riba (27), wang tunai RM54,000 dan wang tunai RM386 dalam serbuan tersebut.
“Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan akan direman pada hari ini bagi meneruskan siasatan lanjut dan anggaran nilaian rampasan adalah sebanyak RM300,000.
“Polis Kuala Lumpur juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain atau pelanggan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. -K! ONLINE.