WASHINGTON, AMERIKA SYARIKAT (AS) – Penduduk AS yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 penuh tidak perlu memakai pelitup muka ketika berada di luar, melainkan di tempat yang sesak dengan orang ramai, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) bertujuan untuk meningkatkan jumlah penduduk yang menerima suntikan vaksin.
Di bawah peraturan baharu itu, mereka yang telah divaksin sepenuhnya tidak perlu memakai pelitup muka ketika berjalan, berlari, berbasikal, memanjat bukit atau melakukan apa-apa aktiviti luar secara bersendirian atau bersama ahli keluarga, selain ketika menghadiri perjumpaan kecil di kawasan terbuka.
“Sejak tahun lepas, kami banyak memberitahu penduduk AS apa yang mereka boleh dan tidak boleh buat.
“Hari ini, saya ingin memaklumkan beberapa perkara yang anda boleh lakukan jika anda telah mendapat vaksin sepenuhnya,” ujar Pengarah CDC, Rochelle Walensky dalam satu taklimat di White House kelmarin.
CDC bagaimanapun menasihatkan penduduk AS agar memakai pelitup muka dan kekal pada jarak dua meter di konsert serta acara sukan, ruang umum yang besar dan pawagam serta pusat beli-belah.
Sementara itu, susulan dengan pengumuman tersebut, Presiden Joe Biden mengingatkan penduduk AS terhadap peraturan-peraturan yang melibatkan perhimpunan ramai.
“Saya ingin menjelaskan di sini, jika anda berada di tempat sesak seperti stadium, persidangan atau konsert, anda masih perlu memakai pelitup muka, meskipun di tempat terbuka.
“Ya, vaksin boleh menyelamatkan nyawa anda dan orang di sekeliling malah mampu membawa kita kembali ke kehidupan normal,” katanya. – Agensi