LOS ANGELES – Petinju terbaik sepanjang zaman, Floyd Mayweather sah kembali sekali lagi ke gelanggang apabila akan turun menentang personaliti YouTube, Logan Paul pada saingan pertunjukan di Stadium Hard Rock, Miami pada Jun depan.
Sebelum ini, pertarungan itu dikatakan akan berlangsung pada Februari lalu, namun ia ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu. Justeru, Mayweather mengakui teruja dan menganggap ia merupakan pertarungan bersejarah.
“Logan Paul dan saya akan bertarung di Stadium Hard Rock. Mayweather, Fanmio and Showtime akan bekerjasama memberikan anda pertarungan epik,” kata Mayweather di Instagram.
Bagaimanapun, pengumuman itu tidak menyatakan lebih lanjut mengenai jumlah pusingan dan saiz sarung tangan bakal digunakan pada perlawanan pertunjukan tersebut.
Mayweather kali terakhir bertarung secara profesional pada tahun 2017 ketika dia menumbangkan jaguh UFC, Conor McGregor dengan TKO di Las Vegas pada 2017.
Kemudian, Mayweather kembali beraksi pada perlawanan pertunjukan dengan menentang Tenshin Nasukawa pada tahun 2018 dan turut menjuarai perlawanan tersebut.
Paul, 26, kali pertama terbabit dengan sukan tinju ketika menentang YouTuber Britain, KSI pada 2018 yang dilaporkan telah berjaya menarik 1.3 juta penonton berbayar seluruh dunia sebelum pertarungan semula pada 2019 di Los Angeles. – AGENSI